Monday, August 31, 2009

Apa Itu Buku Log ?

Dalam dunia kepengakapan, sesebuah laporan kemajuan, pencapaian dan aktiviti bertulis atau dicatatkan oleh seseorang Pengakap yang mengambil sesuatu ujian lencana atau anugerah adalah dipanggil sebagai ‘Buku Log’.
Buku Log seharusnya mengandungi catatan rekod yang diharapkan boleh dijadikan panduan, laporan dan juga pengesahan terhadap penglibatan seseorang Pengakap itu. Ianya juga boleh merupakan rakaman peristiwa yang berlaku dan catatan harian bagi sesuatu aktiviti Pengakap.
Sehubungan itu, seseorang pencatat buku log haruslah mengasah kemahiran meneliti dan menghalusi pemahaman terhadap persekitarannya serta mampu pula menzahirkannya dalam bentuk penulisan, lakaran mahupun bantuan visual ataupun grafik.
Di dalam buku log ahli Pengakap, Pemimpin juga boleh mencatat komen terhadap penulisan serta memberikan pengesahan terhadap ujian yang diambil oleh ahli Pengakap tersebut.
NOTA:
Semasa Ujian Pentarafan Pengakap Raja, buku log peserta akan diperiksa oleh Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Negeri untuk melihat sejarah serta penglibatan peserta dalam Kepengakapan secara keseluruhan. Jadi, pemeriksa akan mengharapkan yang peserta akan melampirkan atau melekatkan salinan sijil-sijil kelulusan bagi lencana dan ujian terbabit di dalam buku log mereka.
Setakat ini, tiada had piawai bagi jumlah mukasurat sesebuah buku log. Namun berdasarkan pengalaman, buku log yang baik hendaklah mempunyai sekitar 200 – 300 helaian dan sebaiknya yang berkulit tebal agar ianya boleh disimpan dengan baik pada satu jangka masa yang lama.
Satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh Pemimpin Pengakap kepada saya ialah ‘Berapa banyak Buku Log harus disediakan oleh setiap Pengakap yang ingin mengambil ujian tertentu?’
Saya masih ingat sewaktu saya menjadi ahli Pengakap Kanak-kanak dahulu, saya menyimpan semua rekod dan nota Pengakap saya di dalam SATU buku log bersaiz 21 cm X 17 cm dengan ketebalan 600 mukasurat. Dan buku tersebut juga saya gunakan sepanjang tempoh saya menyertai Pengakap Kanak-kanak sehingga saya menamatkan persekolahan rendah saya. Maksudnya, kesemua catatan, nota dan pengesahan Pemimpin kami terhadap Ujian Lencana Keahlian hingga Lencana Keris Emas saya catatkan dalam satu buku. Itu merupakan kelaziman di kalangan Pengakap pada masa tersebut.
Namun begitu, bukan senang untuk menjaga sebuah buku untuk satu tempoh yang lama. Malah ianya berkemungkinan hilang dalam sesuatu program atau aktiviti yang disertai oleh seseorang Pengakap. Kesannya, seseorang Pengakap yang kehilangan buku lognya harus memulakan semula catatan buku lognya dari awal. Nota tersebut mungkin boleh ditulis semula, tetapi bagaimana pula dengan pengesahan Pemimpin yang telah diterimanya?
Berikut merupakan cadangan bagaimana pembahagian catatan Buku Log bagi tajuk-tajuk asas yang sesuai dan mudah dijaga oleh seseorang Pengakap.
UNIT PENGAKAP KANAK-KANAK
(1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1 buku
(2) Lencana Keris Gangsa - 1 buku
(3) Lencana Keris Perak - 1 buku
(4) Lencana Keris Emas + Rambu Pengakap Kanak-kanak - 1 buku
UNIT PENGAKAP MUDA
(1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1 buku
(2) Lencana Usaha - 1 buku
(3) Lencana Maju - 1 buku
(4) Lencana Jaya + Rambu Pengakap Muda - 1 buku
(5) Buku Log Pengembaraan - 1 buku
UNIT PENGAKAP REMAJA
(1) Lencana Ekspedisi - 1 buku
(2) Lencana Jayadiri - 1 buku
(3) Lencana Kegiatan - 1 buku
(4) Lencana Kemahiran - 1 buku
(5) Lencana Perkhidmatan - 1 buku
(6) Ujian Sikap - 1 buku
UNIT PENGAKAP KELANA
(1) Catatan Peribadi + Lencana Keahlian + Vigil + Pertabalan - 1 buku
(2) Lencana-lencana Kemajuan - 1-5 buku
(3) Projek - 1 buku
(4) Program atau Aktiviti Khas (jika ada) - 1 buku
Bagi semua unit-unit Pengakap di atas, program atau aktiviti tambahan yang disertai seperti perkhemahan, kursus, jambori dan sebagainya boleh dimuatkan dalam 1 buku berasingan.
Kegunaan Buku Log sebenarnya bukan hanya terhad kepada ahli Pengakap yang ingin mengambil ujian. Pemimpin serta Pesuruhjaya Pengakap juga masih boleh menggunakan kaedah buku log untuk merekodkan benda-benda seperti berikut :
- Kemajuan atau prestasi ahli Pengakap di bawah bimbingannya.- Kursus dan seminar yang dijalani
- Jambori dan perkhemahan yang dihadiri
- ‘Trip’ atau rombongan lawatan yang disertai
Nota :
Hingga kini, saya masih membuat catatan Buku Log Setiausaha Latihan Negeri yang mencatatkan maklumat berkaitan perjalanan serta Kursus-kursus Kepimpinan Manikayu dan Vigil Pengakap Kelana yang saya hadiri dan bantu di serata negeri.
MAKLUMAN:
Untuk kegunaan Pentarafan Pengakap Raja, pihak Lembaga Pentaraf Negeri telah menetapkan bahawa setiap calon harus menghantar atau membawa bersama buku-buku log berikut untuk diperiksa serta bagi kegunaan ujian semasa pentarafan.
(1) Buku Log Catatan peribadi / Lencana Keahlian
(2) Buku Log Lencana Usaha
(3) Buku Log Lencana Maju
(4) Buku log Lencana Jaya
(5) Buku log Pengembaraan
(6) Buku log Lencana Jayadiri
(7) Buku log Lencana Kegiatan
(8) Buku log Lencana Kemahiran
(9) Buku log Lencana Perkhidmatan
(10) Buku log Lencana Ekspedisi
(11) Buku Log Ujian Sikap
Buku-buku Log tersebut di atas haruslah telah disahkan oleh Pesuruhjaya Daerah atau sekurang-kurangnya Pemimpin Kumpulan.

No comments:

Post a Comment