Dewasa ini, mutu Pengakap yang ditunjukkan hari ini semakin dipertikaikan di mana-mana tempat wujudnya Pergerakan Pengakap ini. Dalam perkara ini, langkah terbaik yang harus dilakukan oleh para Pemimpin bukanlah menuding jari sesama sendiri ataupun terus duduk diam tanpa sebarang tindakan susulan. Para Pemimpin haruslah menguatkan semangat dan menaikkan semula semangat serta komitmen mereka untuk memimpin dan membantu ahli Pengakap dibawah bimbingan mereka. Kekurangan dari segi pengetahuan dan sumber rujukan bukanlah sesuatu alasan yang seharusnya ditimbulkan kerana secara tidak langsung, apabila ianya muncul, semangat Berpengakap itu dengan sendirinya akan berkurangan dan semakin menjadi malap.
Apa yang harus disematkan di dalam minda Pemimpin itu sendiri adalah Pengakap itu merupakan satu Pendidikan Sepanjang Hayat. Pemimpin Pengakap di peringkat yang tertinggi pun tidak lepas daripada tuntutan untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka dalam Berpengakap. Ini adalah untuk memastikan bahawa Kepengakapan itu sentiasa relevan dan diterima walau macamana sekalipun perubahan yang berlaku terhadap persekitaran dan gaya hidup masyarakat.
Satu contoh pembelajaran dalam Pengakap di semua peringkat adalah mengajar serta melatih Pengakap lain dan diri sendiri bagaimana menyediakan buku log.
Saya sendiri telah melihat dan meneliti beratus naskah buku log Pengakap yang rupa, bentuk dan cara penyediaannya berbeza antara satu sama lain. Hasil penelitian ini telah saya gabungkan dengan kehendak pemeriksa, kesesuaian serta kepadatan isi kandungan dan saya wujudkan dalam bentuk satu garis panduan yang boleh membantu Pemimpin dan para ahli Pengakap dalam menyediakan sesebuah Buku Log.
Panduan yang ditulis ini bukanlah satu kaedah yang MUKTAMAD ataupun wajib dipatuhi dipatuhi, tetapi sekadar garis panduan untuk memudahkan para pembaca memahami kaedah serta bagaimana memulakan penulisan sesebuah buku log.
NOURMAN RAYN DATUK AWANG ZAINI
Setiausaha Latihan NegeriPersekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah Kota Kinabalu
26 Disember 2008
No comments:
Post a Comment